Sunday 2 September 2012

::.HURAIAN ISU 4: OLEH AHMAD ASYRAF BIN ABDUL RAHIM.::


ISU KEKURANGAN GURU PAKAR DI SABAH DAN SARAWAK
1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuan negara membangun yang sangat menitik beratkan aspek-aspek yang menjamin kualiti pembangunan. Antaranya ialah penekanan terhadap pendidikan yang mana ia merupakan pendukung utama kejayaan pencapaian visi dan misi negara dalam mengejar status negara maju tahun 2020.

Kemajuan yang dituju berfokus kepada segenap aspek pembangunan, ekonomi, sosial dan rohani, moral dan etika kearah membentuk masyarakat global dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta bersatu padu, demokratik, liberal dan dinamik. Ini juga merupakan misi utama yang digariskan dalam Akta Pendidikan 1996 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2001 iaitu melahirkan pendidikan bertaraf dunia dan bermutu bagi merealisasikan potensi individu sepenuhnya dan mencapai Aspirasi Negara.

Dalam mencapai kemajuan, usaha meningkatkan kualiti pendidikan merupakan suatu cabaran utama berdasarkan visi dan misi yang telah ditetapkan. ‘Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), (Standard Guru Malaysia, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia)

“… as the most significant and costly resource in school, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as a teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co- Operation and Development; Petikan Daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106)

Penyataan ini menunjukkan kepentingan status profession perguruan yang perlu pada satu taraf yang sepatutnya bagi menjadikan pengajaran dalam bilik darjah lebih menarik dan mampu melahirkan murid yang mempunyai kualiti sebagaimana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
(Falsafah Pendidikan kebangsaan, FPK)

Walaubagaimanapun, hasrat dalam merealisasikan apresiasi Negara melalui visi dan misi ini tidak mudah untuk dikecapi. Pelbagai rintangan dan kekangan yang perlu dihadapi samada pada peringkat kementerian khususnya guru sendiri yang merupakan pendukung utama visi dan misi pendidikan Negara.











2.0 Konsep
Guru Pakar merupakan suatu usaha oleh KPM untuk mengiktiraf guru yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan cemerlang dalam mata pelajaran atau opsyen pengkhususan masing-masing. Mereka ini juga dikenali sebagai Guru Cemerlang (GC). Tujuan pengkiktirafan ini adalah bagi mempertingkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Sebagaimana yang ditetapkan dalam Standard Guru Malaysia (SGM) berkaitan tahap pencapaian kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. SGM akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai professionalism keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. (Standard Guru Malaysia, SGM, Bahagian Pendidikan Guru, KPM). Disamping itu guru pakar ini akan menjadi role model kepada guru lain agar hasrat KPM dalam melahirkan ramai guru pakar atau cemerlang dapat direalisasikan dengan bantuan guru sendiri.

Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Tahap kecemerlangan guru ini dinilai dari pelbagai aspek antaranya ialah peribadi, potensi, hasil kerja, komunikasi, pengetahuan dan kemahiran serta sumbangan pendidikan.

Tahap kecemerlangan pertama dinilai dari segi kualiti peribadi. Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar yang dapat menjadi role-model kepada warga pendidik.

Kedua ialah dari segi pengetahuan dan kemahiran. Sebagai Guru Cemerlang, adalah satu keperluan bagi menguasai dan menghayati kandungan matapelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Aspek ketiga ialah hasil kerja dimana Guru Cemrlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) kearah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasil kerja ini bergantung kepada kreativiti guru dalam mempelbagaikan bahan mengajar yang mampu memudahkan pemahaman murid serta mampu menarik minat murid untuk belajar.

Aspek keempat ialah komunikasi dimana Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi. Komunikasi sebagai seorang guru perlulah jelas serta mampu dijalankan bukan sekadar satu hala. Seorang guru mestilah mampu berkomunikasi dengan kesemua murid serta rakan sejawat secara efektif.

Aspek seterusnya ialah potensi seseorang guru itu sendiri. Seorang Guru Cemerlang perlulah berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam merangka dan menjalankan tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru cemerlang juga, sumbangan kepada kemajuan pendidikan Negara adalah perlu kerana mereka berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan Negara.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam domain profession Standard Guru Malaysia (SGM), nilai-nilai yang ditekankan termasuklah menjaga imej profession dengan keterampilan diri yang sesuai, kecintaan terhadap profession dan menjaga integriti profession keguruan semasa menjalankan tugas. Guru patut menjadi teladan kepada murid, rakan sejawat, dan masyarakat, dan mengamalkan semangat kerja sepasukan. Selain itu, guru perlu mempunyai sikap proaktif dalam melaksanakan amanah, berfikiran kreatif, dan sentiasa bermotivasi serta berupaya merangsang minat belajar dalam kalangan murid. (Standard Guru Malaysia, SGM, Bahagian Pendidikan Guru,KPM)














3.0 Ulasan Isu


Persoalan utama yang menjadi isu pada ketika ini ialah kekurangan guru berkepakaran dalam subjek kritikal Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah khususnya sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Isu ini diutarakan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 21 April 2011 tulisan Mohd. Azrone Sarabatin yang bertajuk ‘Khidmat guru tempatan terlatih diperlukan di Sabah dan Sarawak.

Dalam penulisan isu ini, penulis membuka minda para pembaca tentang isu kekurangan guru yang berkepakaran khususnya dalam mata pelajaran kritikal terutama Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di negeri Sabah dan Sarawak. Kebanyakan tenaga pakar ini dibawa dari semenanjung Malaysia semata-mata bagi membolehkan peluang yang sama dirasai murid-murid di Sabah dan Sarawak dalam memperoleh pengajaran berkualiti dari guru berkepakaran serta berkualiti sebagaimana murid-murid di semenanjung.

Suara pemimpin yang mendesak supaya lebih ramai anak tempatan mengajar di negeri kelahiran sendiri serta mengurangkan guru dari Semenanjung juga turut diutarakan. Perkara ini telah membuka mata penulis untuk mendalami isu kekurangan guru pakar ini.

Disamping itu, penulis turut menyatakan beberapa pendekatan dan inisiatif yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam usaha menangani isu kekurangan guru pakar di kedua negeri ini. Terdapat juga saranan untuk menambah institusi perguruan di sabah dan Sarawak oleh Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) yang mahu sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus pendidik di Sabah dan Sarawak meliputi anak tempatan direalisasikan segera.


3.0 Analisis Isu

Isu kekurangan guru pakar ini timbul apabila segelintir pemimpinnya, membuat desakan supaya lebih ramai anak tempatan mengajar di negeri kelahiran sendiri dan mengurangkan guru dari Semenanjung. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak masih memerlukan guru dari Semenanjung, terutama guru pakar berikutan mata pelajaran kritikal terutama Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang masih belum mampu diisi guru tempatan. 

Pada pandangan para pemimpin ini, perlantikan guru untuk mengajar di negeri kelahiran sendiri merupakan suatu idea yang efektif dan perkara ini tidak dinafikan kerana mereka yang merupakan anak jati lebih memahami budaya dan adat resam penduduk setempat. Mekipun begitu, pada pandangan Kementerian Pendidikan yang lebih arif mengenai isu ini, aspek yang dilihat lebih berbeza dimana tidak semua subjek mempunyai guru yang mencukupi. Kebanyakan guru yang berkhidmat di Negeri Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang ini tidak mendapat peluang menjalani latihan lanjutan perguruan dan kursus- kursus pemantapan professionalism tidak seperti guru-guru yang berkhidmat di Semenanjung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sarawak, Datuk Masidi Manjun pernah berkata, guru yang ditugaskan mengajar mata pelajaran terbabit kebanyakannya tidak mahir dalam bidang berkenaan tetapi terpaksa memikul tugas kerana ketiadaan guru mahir. Katanya, keadaan itu bukan saja menjejaskan prestasi murid dan pelajar dalam ketiga-tiga mata pelajaran, malah memberi kesan kepada pencapaian sekolah luar bandar, sekali gus mewujudkan jurang yang besar dengan tahap akademik sekolah di bandar.
"Masalah utama sekolah luar bandar di negeri ini ialah kekurangan guru mahir. Contohnya guru yang mengajar Bahasa Inggeris tidak fasih berbahasa Inggeris, malah ada guru tidak faham maksud ungkapan tertentu dalam bahasa Inggeris.
"Faktor ini juga antara sebab pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dipertikai kerana ramai guru yang mengajar subjek itu tidak fasih bahasa Inggeris.
"Selagi masalah ini tidak diatasi, selagi itulah jurang perbezaan pencapaian murid dan pelajar sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar akan terus meningkat," Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sarawak, merangkap Exco Pendidikan negeri.

Disamping itu, guru di sabah dan Sarawak juga amat kurang melibatkan diri dalam penulisan dan pemeriksaan kertas peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sekali gus membataskan pengalaman mereka menjadi guru pakar. 


Selain itu, kekurangan guru atau tenaga pendidik pakar di Sabah dan Sarawak ini juga diakibatkan oleh pertukaran guru yang silih berganti. Ini jelas melalui tindakan guru yang baru menamatkan pengajian di universiti atau institusi pendidikan seperti Institut Pendidikan Guru (IPG), selepas tiga atau lima tahun mereka memohon untuk pulang ke Semenanjung dan seterusnya mereka akan diganti dengan guru baru. Perkara ini menyebabkan pelajar dua negeri ini terus ketinggalan kerana mereka sentiasa menerima guru baru yang kurang pengalaman, manakala guru berpengalaman sentiasa bertukar negeri lain yang hanya akan memanfaatkan pelajarnya.

Isu kekurangan guru pakar di Sabah dan Sarawak ini juga wujud berikutan guru tempatan yang berpengalaman dan cemerlang kebanyakannya ditawarkan memegang  jawatan yang lebih tinggi seperti pegawai pelajaran, pengetua, guru besar dan penolong kanan, sedangkan sepatutnya mereka melanjutkan kursus pendidikan untuk menjadi guru pakar di kawasan mereka sendiri. 

“… as the most significant and costly resource in school, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as a teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co- Operation and Development; Petikan Daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106)

Penyataan ini menunjukkan kepentingan status profession perguruan yang perlu pada satu taraf yang sepatutnya bagi menjadikan pengajaran dalam bilik darjah lebih menarik dan mampu melahirkan murid yang mempunyai kualiti sebagaimana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasrat ini hanya mampu dikecapi jika Negara mampu melahirkan guru- guru yang berkualiti serta berkepakaran dalam bidang masing-masing.

4.0 Cara Menangani Isu

Isu kekurangan guru pakar khususnya di Sabah dan Sarawak ini dapat ditangani dengan wujudnya kerjasama pelbagai pihak khususnya pihak Kemeterian Pelajaran Malaysia  (KPM) serta guru-guru sendiri. Kerjasama merupakan suatu yang utama dalam memacu kejayaan sesebuah organisasi.  Bertrand Russell , (1872-1970) menatakan, The only thing that will redeem mankind is cooperation.Ini memperkukuhkan lagi akan peri pentingnya kerjasama bukan sekadar didalam sesebuah institusi, tetapi juga bagi seluruh manusia sejagat.







4.1 Pihak Kerajaan (KPM)

KPM sememangnya behasrat untuk melahirkan lebih ramai guru pakar supaya tahap kualiti pendidikan mampu mencapai tahap sebagaimana yang diharapkan. Antara tindakan yang dilaksanakan oleh KPM ialah dengan menyelaraskan usaha memperkasakan institusi pendidikan menerusi jaringan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Luar Negara.

“KUALA LUMPUR 18 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi melalui Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memeterai kerjasama strategik dengan Republik Ireland bagi mengembangkan aktiviti pendidikan antara kedua-dua negara.” Utusan, 18 Jun 2012.

Laporan akhbar utusan ini menunjukkan kerajaan sudah mengambil inisiatif dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan di Malaysia sebagai satu jaminan kualiti pendidikan yang mamapu melahirkan kualiti graduan pada tahap yang memuaskan.

Selain itu, pihak kerajaan juga mengadakan latihan dan pengukuhan kepakaran guru dalam menggubal, menyemak serta menambah baik kurikulum aliran vokasional di sekolah. Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia Allahyarham Datuk Razali Ismail semasa merasmikan Konvensyen Guru-Guru Vokasional dan Teknik 2008 di Port Dickson, negeri Sembilan mengatakan perlunya ada usaha yang lebih mantap untuk memperkukuhkan kurikulum pendidikan teknik dan vokasional bagi menghasilkan modal insan yang berkemahiran, progresif dan dinamik.  Ini kerana ianya akan menjadi penentu kepada kejayaan bidang teknologi dan industri Negara terutamanya untuk jangka masa panjang. 

Disamping itu, program berkembar turut diadakan dengan universitI luar Negara untuk pengajian TESL yang juga diadakan di IPG. Utusan Malaysia bertarikh 13 Februari 2009 menyatakan bahawa kabinet telah meluluskan pelaksanaan Program Kembar Praperkhidmatan B. Ed (TESL) antara Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti luar negara bagi pusingan ketiga. ‘Kelulusan itu selaras dengan usaha untuk menambah bilangan guru Bahasa Inggeris yang fasih, berkualiti dan dapat menguasai ilmu pengetahuan dengan baik.’ Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebagai usaha mengurangkan masalah kekeuranga guru pakar ini, pihak kerajaan turut melaksanakan program pensiswazahan bagi guru-guru sekolah rendah dan menengah dimana program ini dijalankan tujuan untuk memenuhi objketif Kerajaan Malaysia untuk memberikan peluang kepada 600,000 guru sekolah rendah untuk memiliki Ijazah Pertama. Program ini akan dijalankan sehingga tahun  2015 di mana guru-guru yang berumur sehingga 47 tahun diberikan peluang keemasan ini.

Pihak kerajaan turut melatih guru untuk menjayakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa inggeris. Program untuk menjayakan matlamat ini diberi nama PPSMI yang menetapkan pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Disamping itu, pihak kerajaan turut mengadakan kursus dalam perkhidmatan khususnya bagi warga guru bagi mempertingkat ilmu pengetahuan serta kualiti professionalisme keguruan sendiri agar wujudnya pemantapan dalam sIstem pendidikan setaraf dengan tahap pendidikan di Negara maju. Kursus dalam perkhidmatan ini lazimnya dijalankan di IPG dimana tenaga pakar yang terdiri dari para pensyarah IPG digunakan.


Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatua-persatuan Guru Sabah dan Sarawak , William Gani Bina mengutarakan hasrat beliau agar Kementerian Pelajaran menambah lagi dua IPG di Sarawak masing-masing di Liwas dan Sri Aman sebagai tambahan kepada empat IPG sedia ada. ‘Penubuhan dua IPG ini membantu melatih lebih ramai guru muda untuk mengisi kekosongan yang ada dengan IPG Lawas yang bersempadan Sabah turut dicadangkan mengambil guru dari negeri terbabit, katanya. 

Akhir sekali ialah Program mentor-mentee dimana para guru yang berkepakaran dalam bidang masing-masing membantu guru-guru lain  yang juga dari bidang yang sama dengan memberI bimbingan ilmu dan pengetahuan tentang bagaimana kaedah dan strategi untuk memastikan keberkesanan pengurusan di sekolah khususnya dalam bilik darjah.

4.2 Guru-guru

Disamping dasar-dasar serta segala program yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan khususnya pihak KPM, warga pendidik iaitu guru sendiri perlulah memainkan peranan semaksima mungkin dalam usaha meningkatkan kecemerlangan diri sekaligus membantu negara menghadapi isu kekurangan guru pakar khususnya dalam mata pelajaran kritikal Matematik dan Sains di negeri Sabah dan Sarawak.

Justeru, beberapa perkara perlu dititikberatkan dan adalah perlu bagi seseorang guru itu memiliki sifat-sifat ini. Antaraya ialah dari aspek peribadi, pengetahuan dan kemahirian, hasil kerja, komunikasi serta potensi guru itu sendiri.

Dari aspek peribadi, seseorang guru perlulah mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam. Guru juga perlu peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar serta mampu menjadi contoh tauladan atau role-model kepada rakan pendidik lain. Sebagaimana yang digariskan dalam SGM, ‘guru patut memartabatkan profession keguruan dengan memelihara keterampilan diri. Keterampilan guru memberi satu gambaran bahawa guru sememangnya mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi serta nilai nilai diri yang positif dan minda yang sihat’. Standard Guru Malaysia (SGM), KPM. Menurut Ragbir Kaur (2007) guru harus membentuk para murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi.

Guru juga perlu memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran semaksima mungkin khususnya berkaitan kandungan matapelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga amat perlu. Dalam usaha ini, guru boleh menyertai program pendidikan Intel iaitu Teach to the Future. Program ini merupakan tajaan syarikat Intel dimana modul dan program yang mampu menjana kreativiti dan inovasi guru disediakan. Modul yang disediakan menuntut guru melakukan perubahan dalam P&P dan menerima pelbagai latihan supaya mahir menggunakan powerpoint, animasi seerta video cakera padat (VCD) yang bersesuaian.

Disamping itu, guru juga perlu berupaya mempertingkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) kearah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasil kerja ini bergantung kepada kreativiti guru dalam mempelbagaikan bahan mengajar yang mampu memudahkan pemahaman murid serta mampu menarik minat murid untuk belajar. ‘guru yang kreatif dan inovatif ialah guru yang berkemampuan dan berkebolehan mencipta dan mencuba idea dan kaedah baru untuk meningakatkan nilai tambah kualiti P&P. guru patut lebih kreatif dan inovatif dalam mengamalkan sifat ingin tahu dankemahuann meningkatkan ilmu’. Standard Guru Malaysia (SGM), KPM.
Aspek lain yang diperlukan oleh seorang guru ialah memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi. Kemahiran ini perlulah wujud dari segi interpersonal mahupun intrapersonal. Komunikasi sebagai seorang guru juga perlulah jelas serta mampu dijalankan bukan sekadar satu hala. Seorang guru mestilah mampu berkomunikasi dengan kesemua murid serta rakan sejawat secara efektif. ‘guru patut yakin dandapat berkomunikasi dengan orang lain secara berkesan dengan mengamalkan kesantunan bahasa demi memelihara keharmonian. Secara peribadi, guru sentiasa bermuhasabah dalam usaha menambah baik diri secara berterusan’. Standard Guru Malaysia (SGM), KPM.

Aspek terakhir ialah potensi seseorang guru itu sendiri dimana mereka perlu berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam merangka dan menjalankan tugas sebagai pendidik. Seorang guru tidak seharusnya bergantung kepada pendekatan sedia ada semata-mata. Mereka juga perlu bijak dalam memanipulasi strategi-stategi pengajaran agar sesuatu yang baru dapat dicetuskan. Jika hanya bergantung kepada pendekatan yang sama, berkemungkinan murid-murid sendiri akan merasa bosan sekaligus menggugat pencapaian objektif pengajaran guru.


5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, dapat dilihat bahawa usaha untuk mengatasi kekurangan guru berkepakaran dalam subjek kritikal Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah khususnya sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak  ini perlu didukung oleh semua pihak. Menurut Dr. Muhammad Hassan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan profession keguruan selain daripada peranan pihak Kementerian Pelajaran, Persatuan Perguruan, dan masyarakat, guru juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besardalam mempertingkatkan aspek keprofessionalan dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi.        

No comments:

Post a Comment