Sunday 2 September 2012

HURAIAN ISU 2 : NUR HAZWANI BT AZMI : ISU PENYALAHGUNAAN WANG DAN RASUAH DALAM KALANGAN GURU



 
Pengetua Sekolah Dituduh Terima Rasuah
KUCHING 12 Jan. – Seorang pengetua sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM12,000 sebagai balasan mengemukakan sokongan terhadap penilaian prestasi dan mempercepatkan bayaran tuntutan seorang pembekal makanan tiga tahun lalu.
Junaidi Zulkipli, 58, yang kini merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, Serian bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8 pagi, 16 Februari 2009 ketika dia menjadi Pengetua SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya.
Dia dituduh menerima wang suapan daripada Saiful Bahri Ahmad Adibi melalui penyelia sekolah, Norassimah Kassim sebagai dorongan memberi sokongan terhadap prestasi pembekal makanan itu serta mempercepatkan proses tuntutannya dalam Pesanan Kerajaan (LPO) bagi Januari 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, bergantung kepada yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Mejar (B) Osman Ibrahim.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu perbicaraan pada 2 April depan.
                             


Guru Didakwa Palsu Tuntutan Elaun Khas 


Tue, 12 Apr 2011 12:52:08

Kerana inginkan imbuhan lebih, 2 guru didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman, Terengganu pagi tadi atas kesalahan memalsukan tuntutan elaun khas di pejabat daerah Kemaman.



 
 








1.0  Pengenalan

Perguruan bermaksud pekerjaan sebagai guru. Guru juga salah satu kerjaya atau profesion sebagaimana halnya dengan kerjaya-kerjaya yang lain dalam masyarakat seperti guaman, akauntan, perubatan, kaunseling, kejuruteraan, perniagaan dan sebagainya. Sebagai sebuah profesion keguruan, ia tertakluk kepada pelbagai syarat yang dikenakan seperti kod etika dan sebagainya yang bertujuan melahirkan modal insan guru yang berkualiti, berketerampilan, terpuji dan dapat menjadi model yang unggul kepada pelajar-pelajarnya . Menurut Hasan,(2002) Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik yang baik.
Sepanjang tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18 September 2008) termasuklah perbuatan sumbang mahram dan bersekedudukan. Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, guru menyebarkan ajaran anti kerajaan dan sebagainya yang telah menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan. Pendedahan-pendedahan salah laku guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion perguruan tergugat pada mata umum. Hal ini bertentangan dengan peranan dan tatasusila dan kod etika perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan masyarakat dan Negara.
Bidang keguruan merupakan satu bidang yang professional kerana  guru adalah seorang yang mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta ada kod etika yang tersendiri oleh itu, ciri-ciri professional yang perlu diamalkan oleh seorang guru adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku guru.
Guru juga tidak terlepas dari isu penyalahgunaan wang di sekolah. Pelbagai urusan yang melibatkan wang di sekolah seperti wang SUWA ,wang kantin, wang koperasi dan banyak lagi urusan kewangan di sekolah . Selain itu, kegiatan penyalahgunaan wang juga boleh dilakukan dengan cara mengemukakan tuntutan elaun perjalanan yang mengandungi butiran palsu. Oleh itu, urusan mengemaskini kewangan dari segi audit dan pengauditan adalah satu urusan yang penting dan perlu diuruskan dengan teliti oleh pihak sekolah. Guru besar perlu mengkaji dan menilai operasi pengurusan kewangan sekolah diuruskan dengan teratur bagi memastikan dasar, peraturan dan undang-undang yang digubal oleh Kementerian Pendidikan dipatuhi oleh semua guru.

2.0  Punca berlaku masalah rasuah dan penyalahgunaan wang dalam kalangan   guru
Semakin banyak isu mengenai penyalahgunaan wang di kalangan guru disiarkan dalam media massa.  Antara contoh lain penyalahgunaan wang yang berlaku di sekolah adalah seperti memaksa murid membeli buku aktiviti tambahan untuk dapatkan komisyen daripada pengedar, melakukan pembelian tanpa mengikut tatacara pembelian, mengemukakan tuntutan perjalanan yang mengandungi butiran yang palsu, guru mengutip yuran khas daripada pelajar tetapi tidak menyerahkannya kepada pihak sekolah dengan tujuan membelanjakan wang tersebut untuk kepentingan diri, guru tidak mengeluarkan resit bagi setiap pembayaran yang dilakukan murid dan banyak lagi.
Ada beberapa sebab kenapa masalah ini berlaku dalam kalangan guru . Pertama adalah berpunca dari sikap guru itu sendiri yang mempunyai sikap tamak dan ingin hidup mewah. Ini juga akibat daripada guru itu sendiri yang tidak mahir menguruskan kewangan diri dan tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Apabila tamak dan kehendak yang tidak kesampaian menguasai diri, maka guru menjadi gelap mata dan bertindak menggelapkan wang yang telah diamanahkan kepadanya. Ini berkait rapat dengan penghayatan nilai murni dan keimanan dalam diri. Guru yang menyalahgunakan wang tidak mengamalkan nilai kejujuran dalam hidup dan lemah untuk menghadapi setiap masalah yang wujud dalam kehidupannya.
Punca yang kedua mengapa masalah ini boleh berlaku adalah dari pihak pentadbir. Pihak pentadbir perlulah sentiasa menguruskan kewangan organisasinya dengan penuh akauntabaliti. Hal ini kerana audit dan pengauditan adalah perkara penting dalam pengurusan sesebuah organisasi. Pentadbir perlu memastikan setiap laporan audit yang dihasilkan oleh kakitangannya dibuat dengan berkualiti dan telus. Hal Ini supaya  dapat meningkatkan akauntabiliti awam bagi mencapai kecemerlangan pengurusan kewangan.  Kepimpinan pentadbir yang lemah dan kurang serius dari segi penyelenggaraan dokumen dan rekod serta penyediaan penyata dapat memberi ruang kepada kakitangan untuk mengambil kesempatan dan menyalahgunakan wang. Pengurusan pentadbiran yang lemah menyebabkan guru tidak gentar akan hukuman dan tindakan yang dikenakan oleh pihak pentadbir. Selain itu, terdapat  juga segelintir pihak pentadbir yang kurang jelas mengenai prosedur pengurusan kewangan di sekolah dan bersikap lepas tangan kepada pihak kerani bagi menguruskan segala prosedur kewangan di sekolah. Hal ini juga menyebabkan masalah ini semakin parah dan berleluasa di sekolah. 
Punca ketiga ialah kelemahan dari sistem pengurusan Jabatan Audit itu sendiri. Seringkali aduan daripada pihak -pihak tertentu terhadap pengurusan kewangan sekolah tidak dihiraukan oleh Jabatan Audit. Di peringkat sekolah , kedengaran berita-berita liar tentang pengurusan kewangan yang lemah. Contohnya pembelian penyapu sehingga RM 18.00 sebatang . Aduan ini tidak sampai ke Jabatan Audit . Tidak ada saluran yang kemas berhubung dengan aduan penyelewengan . Jika sampai sekalipun tindakan tidak tegas , senyap , pengap dan berlalu begitu sahaja. Antara alasan yang sering diberikan ialah ada resit pembayaran. Pada akhirnya guru atau ibu bapa yang mengadu akan berasa bosan dan kecewa. Mereka tidak ambil peduli lagi. Perasaan marah kepada pengurusan kewangan sekolah yang lemah ditujukan kepada pihak akhbar supaya mendedahkan berita tersebut. Sepatutnya segala aduan direkodkan dengan lengkap. Jika ada surat layang , gossip atau berita yang tersiar di dalam surat khabar , Jabatan Audit atau Badan Pencegah Rasuah (BPR ) boleh terus membuat penyiasatan.

3.0 Implikasi rasuah dan penyalahgunaan wang di sekolah
Jika isu penyalahgunaan wang dalam kalangan guru masih tidak dapat di atasi, ia akan memberikan kesan yang sangat buruk kepada profesion keguruan, masa depan murid, dan juga kepada negara.
Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Itulah ungkapan yang sesuai diungkapkan di dalam masalah ini. Akibat daripada perbuatan segelintir guru yang bermasalah, bidang profesion keguruan ini tidak lagi dipandang mulia dan juga mencemarkan integriti semua guru di negara ini. Profesion keguruan ini sepatutnya disanjung tinggi dan perlu dipandang tinggi setanding dengan profesion yang lain seperti profesion kejuruteraan, guaman dan juga perubatan. Kepercayaan ibu bapa terhadap guru untuk mendidik anak-anak mereka juga semakin goyah akibat daripada pelbagai masalah guru. Ibu bapa akan lebih berani untuk mencari salah laku guru dan mempertikaikan setiap perbuatan guru. Oleh itu, cabaran yang dihadapi oleh guru menjadi semakin sukar akibat daripada campur tangan ibu bapa dalam setiap urusan sekolah.
Selain itu, kecemerlangan sesebuah sekolah tidak akan dapat dicapai jika terdapat masalah penyalahgunaan wang dalam urusan sekolah. Sekolah tidak dapat melahirkan guru yang mematuhi etika dan tiada ciri-ciri guru yang professional seperti cekap, amanah dan integriti. Kebocoran dalam urusan kewangan yang berlaku di sekolah akan mengakibatkan timbul pelbagai masalah lain. Contohnya seperti murid dibebankan dengan pelbagai bayaran, kurangnya alatan dan bahan di sekolah, pelbagai aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan dan juga timbul sikap prejudis dan menunding jari dalam kalangan guru di sekolah.
Kesannya kepada negara pula ialah misi pendidikan negara untuk melahirkan murid yang berpengetahuan, berkeyakinan tinggi, dan bersahsiah tidak akan dapat dicapai. Jika para guru sendiri tidak mempunyai sikap jujur, amanah dan cekap maka ia akan mempengaruhi pembentukan peribadi murid. Guru merupakan sebagai role model bukan sahaja kepada murid malah kepada masyarakat. Oleh itu, guru perlu menunjukkan teladan yang baik supaya dapat dicontohi oleh murid dan juga masyarakat. Negara akan kekurangan rakyat yang berilmu pengetahuan dan bersahsiah untuk mentadbir negara pada masa akan datang.
Kesan yang terakhir ialah, kegiatan penyalahgunaan wang ini juga secara tidak sedar boleh mewujudkan masalah lain seperti rasuah. Hal ini kerana apabila terdapat pihak yang mengetahui tentang penyalahgunaan wang di sekolah dan mengugut memberikan wang supaya tidak membongkarkan rahsia tersebut. Kerajaan telah melakukan pelbagai tindakan untuk mengatasi masalah ini tetapi ianya masih berleluasa. Ini berlaku diatas beberapa faktor iaitu antaranya ada sesetengah pihak yang tidak memberi kerjasama terutamanya mereka dari golongan yang mempunyai wang. Akibat wang yang didapati dengan bekerja keras hanya digunakan untuk melakukan tindakan buruk iaitu dengan merasuah orang lain. Tindakan ini umpama membakar duit sendiri. Tindakan yang lebih keras sepatutnya diberikan kepada mereka yang masih tidak mengerti tentang nilai-nilai integriti yang perlu ada dalam diri setiap manusia dan bukannya dengan mementingkan diri sendiri dengan memakan hasil kerja keras orang lain. Setiap orang perlu menasihati antara satu sama lain supaya mereka sedar dan sentiasa ingat. Kita tidak patut membiarkan mereka terkapai-kapai dalam kegelapan dan dalam pemikiran mereka yang tersalah itu.






4.0  Langkah mengatasi isu rasuah dan penyalahgunaan wang
Menyedari hakikat ini, maka langkah yang sesuai dan berkesan perlu diambil.  Pertama, pihak pentadbir perlu mempertingkatkan lagi sistem pemantauan (monitoring) dan susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan cekap dengan cara sentiasa memeriksa Buku Tunai dan Buku Resit bagi mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan wang sekolah. Seterusnya guru besar hendaklah mengambil tindakan segera terhadap segala kelemahan yang dibangkitkan, menyelia tugas-tugas pungutan wang di sekolah dengan lebih cekap bagi mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan pendapatan sekolah, membuat penyelidikan yang rapi terhadap guru-guru  di  bawah  jagaan  bagi memastikan mereka memahami undang - undang, peraturan kewangan, pekeliling - pekeliling dan arahan - arahan yang diedarkan dari masa ke semasa supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan akhir sekali guru besar hendaklah peka terhadap teguran dan nasihat audit agar dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan kewangan di sekolah.
Rakan sejawat juga memainkan peranan penting dalam membendung masalah ini dengan cara memberi nasihat kepada rakan yang menyalahgunakan wang di sekolah. Berikan nasihat kepada rakan supaya menyedari akan kesalahan yang telah dilakukan dan memastikan rakan segera meninggalkan kegiatan tersebut. Laporkan kepada pihak pentadbiran tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh rakan serta tidak bersubahat dalam menyalahgunakan wang. Tunjukkan contoh teladan yang baik dan membantunya mencari jalan untuk meninggalkan perbuatan rasuah tersebut.  Sesungguhnya jika hal ini dibiarkan ia akan menjadi semakin berleluasa dan semakin parah. Oleh itu, guru juga seharusnya bijak memilih kawan agar tidak tersilap langkah terpengaruh dan terjebak di dalam kegiatan rasuah ini.
Langkah ketiga ialah bergantung kepada individu itu sendiri untuk berubah. Guru yang terlibat dalam penyalahgunaan wang perlu sentiasa bermuhasabah diri dan hidup mengikut kemampuan kewangan diri sendiri. Guru perlu pandai dalam menguruskan urusan kewangan diri dan keluarga. Sentiasalah menabung dan menyimpan wang untuk digunakan di waktu kesusahan pada masa akan datang. Perbelanjaan perlu dilakukan dengan cara yang berhemah dan tidak mengikut kehendak dan tidak membanding-banding dengan penjawat awam yang lain. Dengan adanya simpanan, guru dapat menggunakan simpanan tersebut apabila berada dalam kesusahan dan apabila mengalami kecemasan. Guru tidak perlu berada dalam keadaan yang terdesak dan tertekan untuk mendapatkan wang dan menjadikan guru hilang pertimbangan untuk menyalahgunakan wang sekolah.
Langkah yang seterusnya untuk mengatasi masalah kes penyalahgunaan wang ialah kerajaan haruslah menanam nilai-nilai murni ke dalam diri pegawai-pegawai kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan haruslah menganjurkan kursus untuk pegawai kerajaan dan pegawai swasta menyertai supaya dapat menaikkan potensi mereka semasa menjalankan tugasan mereka dalam pejabat. Dengan itu, kandungan dalam kursus yang dianjurkan ini haruslah mengandungi aspek pembangunan rohani yang berteraskan ajaran agama. Ini juga dapat menggalakkan pegawai kerajaan supaya mereka boleh berpegang teguh kepada agama masing-masing.
Langkah yang seterusnya untuk mengatasi maslah kes ini ialah kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah kes rasuah dan jenayah wang yang semakin banyak dalam negara ini. Oleh itu, satu operasi dan evolusi yang sistematik dan terancang mestilah dirangka supaya dapat membantu menyiasat sesiapa pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes rasuah ataupun penyalahgunaan wang. Operasi-operasi yang dianjurkan ini perlulah mendapat kerjasama dan galakkan yang banyak kakitangan awam mahupun swasta. Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita. Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah berbanding dengan jumlah wang yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan penyalahgunaan wang.

5.0 Rumusan
Kesimpulannya, pembangunan sahsiah merupakan satu fokus yang begitu penting terutamanya dalam konteks pendidikan yang melibatkan para pendidik. Menurut Abdul Jalil (1998), pembangunan sahsiah yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran agama dan nilai-nilai budaya dalam masyarakat dengan pembangunan intelektual merupakan kejayaan kepada masyarakat dan negara. Ia merupakan satu wadah pengisian dalam kehidupan individu yang melibatkan aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi iaitu selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Perubahan yang positif akan membentuk individu yang berdikari dengan segala nilai positif yang murni. Pembangunan sahsiah juga membawa makna membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadikan seseorang itu bertamadun, intelek, murni dan berdaya maju (Mohd Nasir etal. 2006)
Sikap integriti perlu berada kukuh dalam diri para guru. Integriti iaitu bukti atau kualiti kejujuran dan mempunyai prinsip nilai-nilai moral yang tinggi juga perlu wujud dalam setiap diri umat manusia. Walaupun era telah berubah dari masa kemasa, tapi nilai hati budi serta sifat jujur tidak patut diubah kerana itulah nilai yang patut diikuti oleh setiap tamadun, iatu nilai integriti. Amalan penyalahgunaan wang yang bertentangan dengan nilai ini semestinya akan diusahakn cara untuk melupuskannya dan sebagai alternatif ke-3 iaitu ibubapa patut memberikan contoh yang baik kepada anak-anak. Sebagai anak pula, kita perlu mematuhi ibubapa kita dan menjaga nama baik keluarga.
Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, kita perlu membanteras amalan yang tidak bermanfaat ini. Kita perlu buktikn bahawa penyalahgunaan wang ini tidak berguna dan hanya memburukkan lagi keadaan. Kita telah diberikepercayaan untuk dipatuhi bukan untuk dikhianati, jadi hargailah kepercayaan yang diberikan oleh orang lain.
Secara kesimpulannya, guru sebagai penjawat awam perlu berpegang teguh kepada kod etika yang telah digariskan. Isu – isu pelanggaran kod etika keguruan seperti isu penyalahgunaan wang disekolah perlu dibendung daripada terus menular kerana ianya membawa kesan yang buruk terhadap profesion keguruan, pembangunan modal insan dan masa depan anak bangsa. Kod etika keguruan adalah untuk dihayati dan dipatuhi bagi mengawal tingkahlaku guru serta demi menjaga imej profesion perguruan. Jika para guru itu sendiri yang tidak mematuhinya maka etika keguruan itu hanyalah sekadar perhiasan sahaja.
Pada masa kini, bukan murid sahaja yang berubah dan bergerak pantas selari dengan perkembangan teknologi malah guru juga turut sama berubah sehinggakan meninggalkan nilai-nilai moral yang baik. Guru seharusnya memastikan nilai moral dan sahsiah itu tetap kukuh dalam diri murid walau arus perubahan tetap berlaku.
Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama iaitu, para guru, sekolah dan masyarakat bagi memastikan isu – isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Pihak masyarakat tidak seharusnya terus memberi hukuman kepada profesion guru dengan memandang serong terhadap semua guru walaupun mereka tidak bersalah. Pihak sekolah pula haruslah sentiasa peka dengan sistem pengurusan sekolah dan memastikan semua guru di sekolah mematuhi etika perguruan dengan baik . Pihak sekolah juga perlu tegas dalam mengenakan sebarang tindakan terhadap guru bermasalah supaya isu penyalahgunaan wang ini tidak berulang lagi. Dengan itu, kita berharap agar profesion keguruan ini terus dihormati dan dipercayai. 

No comments:

Post a Comment