Sunday 2 September 2012

::. HURAIAN ISU 3 : OLEH SITI ROSIMAH BINTI SUFA'AT.::


1.0  PENGENALAN

Dewasa ini, pelbagai perubahan dan inovasi yang berlaku pada abad ke-21 telah memberi kesan pada profesion pendidikan yang masih terikat dengan ideologi pedagogi yang konservatif dan pendekatan pengurusan pendidikan yang kurang responsif terhadap perubahan yang berlaku. Profesion keguruan di Malaysia yang sedang melangkah ke alaf baharu berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran, krisis, harapan dan jangkaan, isu profesionalisme, kualiti dan prestasi guru, kecemerlangan pendidikan dan dorongan bekerja, serta budaya cemerlang dalam pendidikan. Golongan yang terlibat dengan pendidikan tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk memimpin, sama ada kepemimpinan di dalam kelas, panitia mahupun peringkat sekolah. Di samping itu, setiap pendidik juga harus berusaha untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme mereka akibat perkembangan yang pesat dalam dunia pendidikan.

Isu mengenai beban tugas guru seringkali kita lihat terpampang di dada-dada  akhbar. Terdapat juga satu email yang berbunyi 'teruknya pelajar sekarang. Cikgu dihamun dengan perkataan tidak senonoh seperti 'babi' dan 'gila' didepan guru tanpa rasa bersalah' oleh MINIMAY:BH13237. Alangkah malangnya profesion ini, sehingga dimaki hamun sebegini. Dimanakah nilai murni yang ditekankan di sekolah selama ini? Adakah ini satu penyebab kepada kegagalan sistem pendidikan negara ini? Keseimbangan antara jasmani, emosi, intelek dan rohani dalam falsafah pendidikan kebangsaan tidak dapat dicapai dimana aspek rohani dan emosinya tidak dapat dihayati oleh murid.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng juga mengulas dengan terperinci mengenai tugas guru yang semakin bertambah dan mencabar saban hari, minggu dan bulan. Pembangunan profesionalisme diri guru pula sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai insentif daripada segi kenaikan pangkat dan gaji serta elaun. Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini. Masyarakat tidak seharusnya menyalahkan guru sahaja apabila terdapatnya sesuatu isu yang melibatkan murid atau anak-anak mereka. Mereka perlu menangani masalah yang timbul bersama-sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran yang tertentu dengan bijaksana.

Mengenai isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama wujud dan sentiasa menjadi rungutan semua guru. Malahan, isu perbualan sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di pasaraya, pasar ketika membeli ikan, restoran, tempat joging dan sebagainya tidak lari daripada memperkatakan hal-hal mengenai beban tugas yang tak pernah berkesudahan. Menurut Lok Yim Pheng yang di petik dari keratan akhbar bertajuk “Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan”, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh pihak-pihak tertentu. Amat malang perkara ini berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh tanggungjawab.  Ini merupakan salah satu faktor bebanan tugas guru pada masa kini. Senario ini berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semuanya mengandungi pengisian yang hampir sama.




2.0  PUNCA BERLAKUNYA ISU

Beban kerja bertambah sememangnya antara isu utama yang sering diperkatakan dalam kerjaya seorang guru. Selain itu, hari Sabtu yang merupakan hari cuti sepatutnya dinikmati sebahagian guru juga mungkin sudah menjadi sejarah. Mereka kini bertugas pada hari itu untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, bermesyuarat selain mengajar kelas gantian bagi cuti perayaan. Itu belum termasuk beban tugas yang terpaksa dibawa pulang ke rumah seperti menyemak tugasan sekolah serta membuat persiapan mengajar yang memerlukan sesetengah daripada mereka bersengkang mata hingga larut malam. Sememangnya guru wajar menerima kenyataan bahawa mereka yang memilih bidang itu sebagai kerjaya perlu menerima beban tugas yang diberikan tanpa banyak soal.


2.1  ARAHAN DALAM ARAHAN

Arahan dalam arahan berlaku apabila seseorang menerima sesuatu tugasan dari pihak atasan dan pada masa yang sama pula, pihak pentadbiran memberikan arahan yang sama dalam melaksanakan tugasan pada skop yang sama pada peringkat yang berbeza. Dalam dunia pendidikan, perkara ini sering terjadi kepada guru seperti contoh yang terdapat dalam akhbar bertajuk “Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan” iaitu apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.

Tindakan ini sememangnya akan membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit kerana guru yang terlibat terpaksa melaksanakan tugasan yang sama berulang kali manakala tugas sebagai pendidik untuk mendidik anak bangsa terabai. Maka timbullah pula isu keciciran murid dalam pembelajaran, guru tidak masuk ke kelas untuk mengajar, wujud masalah tingkah laku murid dan sebagainya.


2.2  HILANG SEMANGAT UNTUK BERKORBAN DAN MENDIDIK
Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, walhal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru sahaja terutamanya guru-guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya. Namun yang peliknya dalam isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan. Kalau guru terbeban dengan tugas sekolah, mana mungkin mereka mampu menjawat 'dua profesion' dalam satu masa. Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain. Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa.
Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak mengizinkan, anak sakit dan seribu satu alasan lain. Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' juga digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika ditemuduga dahulu mereka sanggup berjanji untuk berkorban apa sahaja demi mendidik anak bangsa. Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'. Ini menunjukkan ketidakadilan kepada guru yang dikatakan ‘teraniaya’.

2.3  TUGAS BERLEBIHAN

Dari hari ke sehari, tugas-tugas guru dikatakan semakin bertambah selaras dengan kehendak Wawasan pendidikan. Menurut Ee Ah Meng (1999), guru mempunyai peranan dan tanggungjawab bukan setakat mengajar tetapi juga mendidik. Guru turut menjalankan tugas-tugas luar bilik darjah seperti aktiviti kokurikulum, menghadiri kursus atau seminar dan lain-lain tugas yang mempertingkatkan lagi profesion perguruan di samping tugas utama mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tidak dapat dinafikan juga guru turut melaksanakan tugas-tugas luar dari bidang perguruan iaitu bidang perkeranian seperti mengisi buku rekod pelajar, kad laporan dan sebagainya. Tambahan itu, arahan berulang yang diberikan oleh pihak atasan pada peringkat yang berbeza juga menyebabkan para guru menanggung bebanan kerja yang berganda kerana terpaksa melaksanakan tugasan yang sama.

Selain itu, pengagihan tugas yang tidak seimbang yang diberikan oleh pihak atasan sekolah juga menyebabkan sebahagian guru terpaksa menanggung bebanan tugas yang berbeza. Pengendalian aktiviti kokurikulum, mesyuarat dan juga kelas tambahan dan gantian yang dijalankan di sekolah pada hujung minggu juga menjadi bebanan kepada guru kerana cuti yang sepatutnya dinikmati oleh guru pada hujung minggu dihabiskan untuk aktiviti dan program yang dijalankan di sekolah. Menurut Hashim Adnan, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), banyak aduan yang dibuat oleh guru membabitkan beban bertugas pada setiap hari Sabtu. Malahan itu, ada guru yang terpaksa bersengkang mata semata-mata untuk membuat persiapan mengajar di sekolah.


2.4  KEPADATAN MURID

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza di samping kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan. Kepadatan pelajar dalam sesebuah kelas dikenal pasti menyumbang beberapa perkara negatif kepada guru dan mutu pelajar. Rata-rata guru mengaitkan beban kerja mereka dengan masalah berdepan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengah mencecah 45 hingga 50 orang. Akibatnya, guru hilang fokus mengajar. Mereka turut mengalami tekanan emosi dengan telatah dan kerenah pelajar dalam suasana kelas yang ‘tidak terkawal’. Isu itu juga memberi kesan negatif kepada pelajar kerana belajar dalam suasana tidak tenteram. Ini menjejaskan pencapaian dalam pelajaran dan peperiksaan mereka. Gangguan rakan yang nakal juga boleh menjejaskan minat untuk tekun menuntut ilmu. Perancangan untuk mengurangkan kepadatan pelajar dalam kebanyakan kelas sekolah di bandar mesti ditangani mulai sekarang. Jika masalah ini berterusan, ia bukan saja menjejaskan mutu pelajar, malah tenaga guru yang mendukung tanggungjawab mendidik anak bangsa itu juga semakin tidak bermaya.

Tidak mustahil kerajaan melaksanakan kaedah menyuraikan kepadatan itu dengan membina lebih banyak asrama desa untuk membawa masuk pelajar dari bandar. Menghantar lebih ramai pelajar ke luar bandar mampu memberi kesan sosioekonomi. Mungkin juga ada ibu bapa enggan menghantar anak ke sekolah desa. Tetapi jika sekolah itu menyediakan infrastruktur dan guru berkemampuan tinggi, maka lebihan puluhan ribu pelajar pandai dari bandar boleh ‘dieksport’ ke sekolah pintar di desa. Cadangan mengehadkan hanya 25 pelajar dalam setiap kelas dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebagai antara 40 cadangan mengurangkan beban tugas guru sewajarnya diperhalusi. Cadangan ini menarik kerana mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif untuk murid mahupun guru. Bagaimanapun pelaksanaan cadangan ini membabitkan kos yang sangat tinggi. Jumlah guru pula perlu ditambah secara drastik. Kelas, makmal dan kemudahan pembelajaran tambahan lain perlu disediakan manakala sesi persekolahan terpaksa diadakan pada waktu pagi dan petang.

3.0  IMPLIKASI
Setiap tahun menunjukkan terdapatnya permohonan dari guru untuk bersara awal. Antara alasan yang dikemukakan untuk bersara awal adalah kerana beban kerja yang semakin banyak. Peningkatan beban kerja guru masa kini menyebabkan guru-guru mengalami tekanan mental dan emosi. Ini tidak langsung menyebabkan prestasi guru terjejas dan pengajaran dan pembelajaran juga tidak dapat berjalan dengan sempurna. Masalah beban tugas guru ini boleh menganggu fikiran serta menjejaskan kesihatan yang serius. Gold dan Roth (1993) berpendapat bahawa bidang pendidikan tidak dapat memenuhi janji kepada guru sesuatu yang hebat, kepuasan bekerja dan kegembiraan kerana menolong anak-anak membesar dan menjadi matang. Keadaan ini menyebabkan hasrat murni para guru untuk menolong anak-anak membesar dan menjadi matang musnah kerana guru menghadapi pelbagai tekanan. Bebanan tugas yang banyak juga boleh menyebabkan profesion perguruan menjadi kurang diminati dan seterusnya menjadi pilihan profesion yang terakhir.
Implikasi yang berlaku kepada masyarakat pula membuatkan ibu bapa kurang yakin terhadap kualiti pengajaran guru yang dikatakan tidak mencapai hasrat yang disarankan akibat lambakan kerja. Murid-murid juga tidak beroleh ilmu pengetahuan yang sepatutnya semasa sesi pembelajaran di dalam kelas. Tekanan yang mungkin dihadapi guru juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada murid di mana guru mungkin melepaskan tekanan kepada murid melalui hukuman yang tidak sewajarnya semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, tahap pencapaian sekolah juga akan menjadi semakin menurun sehingga menjejaskan pelajaran murid-murid yang ingin menambah ilmu di dada.

4.0  LANGKAH MENGATASI BEBAN TUGAS GURU
Berdasarkan kenyataan media, Kementerian pelajaran telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 23 Oktober 2010 seperti berikut: Isu beban tugas guru telah ditimbulkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kepada Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada 30 Mac 2010. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Objektif penubuhan JKMIBTG ini adalah untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab guru, mengenal pasti faktor yang menyebabkan beban tugas guru bertambah, dan mencadangkan tindakan bagi menangani isu beban tugas guru.
Satu sesi pembentangan laporan JKMIBTG kepada Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajararan telah diadakan pada 3 Jun 2010, dan sebanyak 14 faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada isu beban tugas guru. JKMIBTG juga telah mencadangkan 28 perakuan bagi menangani isu ini.
Bagi merealisasikan semua perakuan ini, satu Jawatankuasa Pelaksana Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah ditubuhkan dan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan. Antara perakuan yang telah diambil tindakan:
4.1  Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu diadakan secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan, satu surat siaran telah dikeluarkan oleh KPM untuk memastikan pihak sekolah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2005: Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu;
4.2  Bagi mengurangkan tugas rencam guru di sekolah, satu Garis Panduan Penggabungan Jawatankuasa telah disediakan supaya jumlah Jawatankuasa di peringkat sekolah tidak melebihi sepuluh yang terpenting.
4.3  Bagi mengurangkan tugas perkeranian yang pada ketika ini dilaksanakan oleh guru, KPM telah memohon pertambahan jawatan Pembantu Tadbir melalui urusan pindah butiran perjawatan/ trade off bagi tujuan pelaksanaan kajian rintis di 50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1500 orang murid
4.4  Bagi mengurangkan kekerapan guru keluar meninggalkan kelas untuk berkursus:
4.4.1     Satu Pelan Operasi Latihan (POL) Tahunan yang komprehensif sedang dibangunkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2011
4.4.2     Kursus Dalam Perkhidmatan secara atas talian (online) akan diperkenalkan
4.4.3     Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam pembentangan bajet 2011 yang telah diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia.
4.5  KPM juga telah memohon peruntukan kewangan dalam Anggaran Belanja Mengurus 2011 bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan
4.6  One Stop Centre diwujudkan di peringkat KPM bagi tujuan pengumpulan dan penyelarasan data.
4.7  Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menangani isu bebanan tugas guru ini dilihat banyak membantu menangani masalah ini agar tidak menjadi ‘barah’ yang semakin teruk dan sesungguhnya dapat membela nasib sebilangan guru yang teraniaya akibat isu ini yang dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya.

5.0  KESIMPULAN

Dalam konteks sekolah, guru yang terbabit dalam melaksanakan pelbagai tugasan berkaitan akademik, pentadbiran mahupun kokurikulum sebenarnay menghabiskan lebih banyak masa mereka di tempat kerja berbanding di rumah. Mereka bukan sahaja bersusah payah untuk menyiapkan tugasan masing-masing di sekolah mengikut jadual yang ditetapkan malahan perlu juga memastikan tugas-tugas di rumah dan perhubungan sosial berjalan dengan lancar khususnya kepada mereka yang telah berkeluarga. Kebanyakan individu sepatutnya hanya bekerja mengikut jam tertentu sahaja dalam seminggu. Baki masa yang lain pula sewajarnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat, keluarga dan sebagainya meliputi komunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama ahli keluarga, jiran-jiran tetangga mahupun rakan-rakan. Sekiranya berlaku kekangan masa untuk bersama masyarakat setempat, berkemungkinan guru akan membawa masalah peribadi mereka ke sekolah untuk diselesaikan. Ini akan menyebabkan komitmen guru terhadap tugas mendidik terganggu sekaligus member kesan negatif kepada proses pengajaran dan pembelajaran murid.






Tugas guru bertambah akibat banyak arahan


NUTP gesa pendidik hanya akur pekeliling kementerian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya ‘arahan dalam arahan’ yang mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.

Beliau berkata, keadaan sedemikian berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan dikeluarkan pihak atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling dikeluarkan Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh pihak JPN atau PPD,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Lok berkata, masalah berkenaan ialah antara beban kerja guru yang dibangkitkan dalam mesyuarat antara NUTP dan Muhyiddin yang berlangsung lebih sejam di Bangunan Parlimen, kelmarin.

Selain itu pada pertemuan berkenaan, katanya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dimaklumkan mengenai masalah kekurangan waktu untuk guru berehat apabila dipanggil menjalankan pelbagai aktiviti pada setiap Sabtu, justeru NUTP mencadangkan supaya kementerian menetapkan peraturan bahawa guru hanya dipanggil bertugas pada Sabtu kedua dan keempat dalam sebulan.

Sambil menjelaskan NUTP menyokong penempatan guru baru di pedalaman, katanya, kesatuan itu bagaimanapun membantah tindakan memindahkan guru dari sebuah sekolah ke sekolah lain untuk penggiliran kerja bagi pelbagai mata pelajaran di sesetengah negeri, sedangkan proses penugasan semula itu sepatutnya hanya untuk subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“NUTP ada 160,000 ahli dari pelbagai kumpulan dalam sektor pendidikan, oleh itu banyak masalah akar umbi yang perlu diberi perhatian. Justeru, NUTP berharap dapat mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri sekurang-kurang dua kali setahun untuk membincangkannya.

“NUTP amat berterima kasih atas keprihatinan beliau yang begitu `passion’ terhadap profesion keguruan,” katanya.







LAMPIRAN


Beban tugas guru 2.jpg
pembantu guru.jpg
BORANG REKOD KOLABORASI KERJA KURSUS



No comments:

Post a Comment