Sunday 2 September 2012

HURAIAN ISU 1 : ISU MURID DIPUKUL GURU BESAR SEHINGGA CEDERA OLEH YUZIANA ALINI BINTI YUSOFF


ISU MURID DIPUKUL GURU BESAR SEHINGGA CEDERA


1.0  PENGENALAN
Dalam konteks dunia pendidikan yang serba mencabar dewasa ini, guru-guru perlu peka dan beriltizam untuk menjadikan mereka dan juga produk mereka mendapat pengiktirafan. Proses pengajaran dan pembelajaran haruslah konsisten dengan halatuju dan falsafah pendidikan negara. Dalam menuju negara maju tahun 2020 dan pembelajaran bertaraf dunia, para guru haruslah mempunyai sikap dan semangat yang tinggi serta bersifat proaktif dalam menjayakan iltizam dan harapan bangsa.
Di sekolah, guru berperanan mendidik, mengasuh, menunjuk ajar, membimbing, membina dan memandu golongan pelajar ke arah suatu matlamat yang telah ditetapkan berpandukan kepada FPN dan Wawasan 2020 (Joohari 1994). Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula pelbagai masalah dikalangan guru-guru.
Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri sering berlaku dan menjadi topik media. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan hangat dikalangan masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Adakah ini berpunca dari sikap dan kelalaian guru itu sendiri? Oleh itu, sebagai seorang guru kita haruslah memahami kod etika perguruan.


1.1  Latar Belakang Masalah

Murid dipukul guru besar hingga cedera


SEGAMBUT – Akibat ditampar dan ditendang oleh seorang guru matematik yang juga guru besar sekolah, seorang murid tahun lima mendakwa mengalami gegaran otak.
Bapa mangsa S. Saravanan, 40, berkata, dia dimaklumkan secara lisan oleh doktor dari Bahagian Neurologi, Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa anaknya selepas ditahan dua hari di wad kerana muntah-muntah selepas insiden itu.

Dalam kejadian 3 April lalu, pipi anaknya, S. Suryakaran, 11, ditampar dan kaki kirinya disepak hingga terjatuh serta kepala terhantuk pada kerusi kerana tertinggal buku latihan.
Justeru, satu laporan polis berhubung tindakan guru itu terhadap anaknya dibuat di Balai Polis Jinjang.

“Saya kecewa, setakat ini tiada wakil pihak sekolah datang ke rumah atau bertanya khabar tentang keadaan Suryakanan.
“Apa jaminan anak saya akan sembuh dan tiada kecederaan sampingan. Saya harap Kementerian Pelajaran campur tangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, dia kini hilang pekerjaan selepas tidak datang bekerja selama tiga hari kerana menjaga Suryakaran.

Apa yang dikesalinya, insiden berlaku pada jam 9 pagi tetapi dia mengetahuinya pada kira-kira jam 1 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan.

sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/...cedera-1.38429

2.0  PUNCA TINGKAH LAKU GURU BAGI KES KEKASARAN TERSEBUT
Perhubungan guru dan murid menjadi aspek yang penting di dalam dunia pendidikan. “Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami”. Begitulah yang dikatakan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff.
“Kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan”, ujarnya lagi.
Selain itu menurut Prof. Dr. Robiah Sidin berpendapat punca guru bertindak keterlaluan mungkin kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap guru. Punca yang menyebabkan tingkah laku negatif ini ialah tekanan kerja yang dihadapi menyebabkan guru tersebut mengalami stress yang tinggi. Mengikut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai guru.
Bebanan kerja yang terlalu banyak, dimarahi oleh pihak pentadbir, disisihkan dan sebaginya adalah contoh tekanan kerja yang dihadapi oleh guru setiap hari menyebabkan guru itu tidak berfikir panjang seterusnya mencari jalan lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapinya. Guru tersebut menganggap, kekasaran terhadap anak muridnya ini boleh mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi, namun kesan dari perkara itu lebih teruk dari apa yang dijangkakan. Selain itu, pengurusan tekanan yang tidak betul menyebabkan guru tersebut menggunakan murid sebagai alat untuk melepaskan tekanan yang dihadapinya.

Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi . Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan pula berkata, punca guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang nakal, guru dapat kawal tetapi kalau terlalu ramai, ia boleh menghilangkan kesabaran guru. “Guru juga manusia biasa, jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal”, jelas beliau.
Walau bagaimanapun, munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan. Jadi apabila tidak minat, seseorang guru itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain.
Sesetengah guru menghukum dengan tujuan untuk mendidik kerana kenakalan murid berkenaan. Kita tidak boleh salahkan guru sahaja kerana ibu bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-masing. Ada juga murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah. Walau bagaimanapun, ini bukanlah menunjukkan bahawa kita harus menyokong keganasan yang dilakukan guru. Sebaliknya kita sama-sama perlu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan bukan hanya menuding jari kepada mana-mana pihak. Pendedahan kes guru mendera murid ini juga ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung dan semua pihak adalah terlibat.



3.0  IMPLIKASI KEPADA GURU, IBU BAPA, PROFESION PERGURUAN
Antara kesan yang akan dialami guru yang bertindak kasar kepada anak murid ialah murid akan memulaukan guru yang mereka tidak suka. Murid menjadi benci dan mereka semakin menjauh daripada guru tersebut dan takut untuk meneruskan pelajaran dengan guru tersebut. Selain itu, hubungan guru dan rakan sejawatnya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan kekasaran terhadap anak muridnya sendiri. Guru tersebut akan tertekan akibat dari perbuatannya.
Kesan lain terhadap ibu bapa ialah menyebabkan ibu bapa tidak mempercayai guru yang bertindak memukul anak mereka. Pengurusan PIBG akan melakukan mesyuarat dan akan menyuarakan pendapat mereka yang mana mereka akan meragui kebolehan guru tersebut menjadi seorang pendidik yang baik. Selain itu, ibu bapa membawa isu ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka.
Disamping itu, kesan terhadap masyarakat pula ialah masyarakat akan memandang serong terhadap profesion ini. Profesion ini sepatutnya dihormati oleh smua lapisan masyarakat. Akan tetapi dengan adanya segelintir guru yang bertindak kasar terhadap anak murid, akan menyebabkan masyarakat mula meragui kredibiliti sebagai seorang guru. Bak kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Seterusnya, kesan yang akan menimpa sekolah ialah reputasi sekolah akan menurun menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Kesan jangka pendek yang dialami oleh mangsa ialah mangsa lebih takut untuk ke sekolah dan tidak berminat untuk belajar sehingga prestasi mangsa menurun. Murid akan phobia dengan guru tersebut dan mengalami tekanan emosi.


4.0  KOD ETIKA GURU
Etika merupakan satu sistem dasar akhlak, adat dan tingkahlaku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka) yang merupakan prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford). Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggugjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkahlaku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Bagi seorang guru, haruslah mempunyai etika kerja bagi mencapai objektif iaitu menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan bagi meningkatkan kualiti kerja. Selain itu guru mestilah
mematuhi prinsip etika kerja seperti berikut perlu dilaksana serta dihayati bersungguh-sungguh. Perkara pertama yang perlu dipatuhi ialah niat yang betul. Sesungguhnya semua pekerjaan bergantung kepada niat yang betul. Bagi menanamkan niat yang betul, guru dikehendaki memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara, misi, matlamat dan objektif KPM.
Selain itu guru haruslah ikhlas menjalankan tugas dengan sempurna dan berusaha untuk memberikan sumbangan yang bermutu. Sentiasa memperbaharui niat untuk kebaikan dan tidak bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Perlakuan yang baik juga penting dalam kalangan warga pendidik bertanggungjawab untuk mencapai hasil yang berkualiti di samping memperbaiki imej organisasi. Untuk itu, semua guru mesti menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa.
Seterusnya kod etika keguruan lain ialah guru sebagai penggerak ke arah kebaikan. Guru hendaklah menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong orang lain melakukan kebaikan. Guru perlu berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat.


Berdasarkan isu tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru dalam kes kekasaran terhadap anak murid ini, kita dapati guru tersebut melanggar kod etika perguruan dimana beliau tidak menunjukkan tanggungjawab terhadap pelajar. Dalam kes ini sepatutnya guru tersebut mengutamakan keselamatan pelajar namun guru tersebut telah melakukan perkara yang sebaliknya dengan menampar pelajarnya. Kes seperti ini tidak harus dilakukan kerana ianya mencemarkan nama baik profesion ini sehingga menyebabkan murid tersebut merasa takut untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.

5.0 CADANGAN MENGATASI TINGKAH LAKU GURU YANG NEGATIF
Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan.
“Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukarkan mereka ke tempat lain semata-mata. Sebaliknya jika mereka tidak berminat mengajar, lebih baik diambil tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut”,  jelasnya lagi. Beliau turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.
Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab dan dengan cara inilah boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah.
“Guru tidak boleh mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan kesalahan kecil dengan cara mendera atau mencela”, begitulah kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar. Beliau berkata guru sebaliknya perlu mendidik pelajar yang melakukan kesalahan kecil, seperti membuat bising dalam bilik darjah, tidak memberikan perhatian sewaktu guru mengajar dan berkeliaran semasa waktu persekolahan. “Macam-macam cara boleh dibuat. Guru boleh paksa murid menulis karangan di rumah, bagi kerja-kerja yang boleh memberikan nilai murni kepada pelajar,” kata beliau. Menurut beliau juga, semua hukuman dan denda yang berbentuk pendidikan telah dinyatakan secara jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran. “Dalam pekeliling ini diberitahu tindakan hukuman seperti mengetuk dan menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga, membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara berkumpulan tidak dibenarkan,” tegasnya.

Segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi.
Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan disediakan dan telah menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari Seksyen 319, ia menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang mencederakan. Antara seksyen yang menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320 iaitu cedera parah; Seksyen 321 – dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 322 – dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, jika seorang guru besar telah menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar, maka guru tersebut tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana guru itu bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, jika murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus disusuli dengan laporan polis.
Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-undang Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul di mahkamah sivil. Hal ini jelas apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri mengatakan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap guru yang memukul pelajar sekolah ketika mengajar. Oleh sebab itulah guru-guru dinasihatkan agar tidak membuat tindakan terburu-buru dan mengikut emosi dalam menghukum pelajar.
Bagi menangani masalah tingkah laku guru ini, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu menyediakan kemudahan khidmat bimbingan dan kaunseling yang dikhaskan kepada guru yang bermasalah. Khidmat bimbingan dan kauseling ini bertujuan membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat dari pakar kaunseling jika mereka mengalami tekanan. Menurut Shertzer dan Stone (1981) mengatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.
Selain itu, kuatkan undang-undang juga boleh diambil bagi mengatasi masalah kekasaran guru terhadap anak murid ini. Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara dan hukuman sebagainya bagi mengatasi masalah ini dari terus berleluasa. Dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, tingkah laku negatif dalam kalangan guru mungkin dapat diatasi dengan segera. Di samping itu juga, guru yang melanggar etika keguruan perlulah dilucutkan dari jawatannya. Ini dapat member pengajaran kepada guru-guru yang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.
Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan diri daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.
Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin dan menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar sehingga diri sendiri yang tertekan. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera. Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.
Ibu bapa dan masyarakat harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah. Oleh itu, isu guru mendera dan bertindak ganas adalah masalah yang perlu diberi perhatian semua pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah ada terutama di antara guru, ibubapa, pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik.


5.0  KESIMPULAN
Hubungan antara pelajar dengan guru merupakan perhubungan yang murni. Guru sama-sama berkongsi kekecewaan dan duka pelajar. Guru yang demikian akan rasa bersalah dengan pengurangan komitmen terhadap murid mereka yang sentiasa memerlukan tunjuk ajar dan bantuan. Guru adalah golongan manusia yang memberi kesan yang besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap manusia. (Noran, 1993).
Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting ialah sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dan menganggap sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru juga sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru juga sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar.
Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak.
Guru dapat diertikan sebagai pengajar, pengasuh atau pendidik yang memberi kesan besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap manusia. (Noran et al, 1993). Dalam dunia pendidikan, kebiasaannya guru akan mendorong dan menggalakkan setiap pelajarnya mengenal pasti dan meyakini potensi diri mereka yang sebenar. Potensi pelajar tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, bahkan melalui perbandingan keupayaan sesama rakan mereka.

No comments:

Post a Comment